30 December 2008

Sebalik Awal Muharam @ Ma'al Hijrah

Hari ini merupakan hari bersejarah bagi umat Islam di seluruh dunia menyambut Awal Muharam. Kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah @ Awal Muharram.Hari Ma'al Hijrah atau Awal Muharam Ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam.

DOA AKHIR TAHUN

Dengan nama Allah yang Amat Pemurah lagi Amat Penyayang, segala puji-pujian itu tertentu bagi Allah seru sekelian alam. Selawat dan salam ke atas penghulu sekelian Rasul dan atas keluarganya dan sahabatnya sekelian.
Ya Allah, apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini dari apa yang Engkau tegahkan kami daripadanya, maka tidak sempat kami bertaubat darinya dan Engkau tidak meredhainya dan tidak Engkau melupainya dan Engkau berlemah lembut ke atas kami walaupun Engkau berkuasa atas menyiksakan kami, malah Engkau memberi peluang supaya kami bertaubat setelah kami melakukan maksiat ke atas Engkau, maka sesungguhnya kami memohon keampunan Engkau, maka ampunilah bagi kami dan apa yang kami lakukan padanya dari apa yang Engkau redhainya dan Engkau telah menjanjikan kami ganjaran pahala ke atasnya, maka kami memohon akan DiKau wahai Tuhan yang Mulia yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, semoga Engkau menerima daripada kami dan janganlah Engkau memutuskan harapan kami daripada Engkau wahai Tuhan yang mulia.
Wahai Tuhan kami, telah kami lakukan kezaliman ke atas diri-diri kami dan sekiranya Engkau tidak mengampunkan kami dan mengasihani akan kami nescaya jadilah kami daripada golongan orang-orang yang rugi. Wahai Tuhan kami berikan kami kebaikan di dunia ini dan juga kebaikan di akhirat nanti, serta peliharakan kami akan azab api neraka.

DOA AWAL TAHUN

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian itu bagi Allah pentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul iaitu penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas keluarganya dan para sahabatnya sekelian.
Ya Allah, Engkaulah yang Kekal, Qadim lagi Azali dan di atas kelebihan Engkau Yang Besar dan Kemurahan Engkau yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan di atas nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada Engkau bagi melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada Engkau.
Ya Allah, Tuhan yang mengubah segala keadaan, ubahkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kekuatan Engkau wahai Tuhan yang mengerasi lagi Maha Tinggi. Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.

Semoga kita beroleh berkat dan perubahan dalam kehidupan kita di dalam mengharungi onak dan cubaan di dunia yang fana ini.....