08 October 2009

Cabaran Bencana Alam dan Sikap Muslim Dalam menghadapainya


Majlis Ugama Islam Singapura


Khutbah Jumaat

9 Oktober 2009 / 20 Syawal 1430

Cabaran Bencana Alam Dan Sikap Muslim Dalam Menghadapinya





Maasyiral Muslimin Rahimakumullah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah

dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang bertakwa dan sentiasa mengerjakan

kebaikan dan amal soleh. Semoga dengannya, kita mendapat kemuliaan dan

kejayaan hakiki, Amin.



Sidang Jumaat Yang Dirahmati,

Islam menyeru kita agar membuka segala pancaindera; penglihatan,

pendengaran dan yang lain, agar kita sentiasa melihat sekeliling dan

memahami alam dan dunia kehidupan kita. Keagungan dan kebesaran alam

ciptaan Allah s.w.t. pasti tampak jelas bagi mereka yang merenunginya.

Di sebalik kehebatan dan keagungan ciptaan Tuhan, tampak kecil dan

kerdilnya kita sebagai manusia. Firman Allah s.w.t di dalam surah Yunus

ayat ke 101,

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w), perhatikanlah apa yang

ada di langit dan di bumi (yang membuktikan kekuasaan Allah), dan

tidaklah ia dapat memberi faedah kepada orang-orang yang tidak beriman.

Saudaraku sekalian,

Wujudnya kita tidak dapat dipisahkan dari alam sekeliling. Bahkan,

keadaan kehidupan kita sangat terkait dengan setiap perubahan yang

berlaku padanya. Bayangkan betapa kita perlu menyesuaikan diri apabila

cuaca menjadi semakin panas, atau hujan turun menyebabkan banjir. Lihat

bagaimana kehidupan sesuatu masyarakat berubah dengan dasarnya apabila

paras air laut mula meningkat, seperti yang menjadi keprihatinan di

kepulauan Maldives. Kerana itu, di antara tanggungjawab kita sebagai

Muslim adalah untuk menjaga alam sekitar dengan sebaik-baiknya.

Contohnya, kita dilarang membazir sumber-sumber alam semulajadi, seperti

air, tenaga dan sebagainya. Nabi s.a.w pernah bersabda kepada Saad bin

Abi Waqqas ketika beliau berwudhu' yang bermaksud, "Pembaziran apakah

ini wahai Saad? Lalu beliau bertanya, "Adakah dalam hal berwudhu pun ada

pembaziran? Sabda Nabi s.a.w, "Ya, walaupun kamu berwudhu di tebing

sungai yang mengalir airnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)



Saudaraku sekalian,

Jika kita memerhatikan dengan insaf, kita akan merasakan bahawa

perubahan pada alam sekitar lebih kerap berlaku dewasa ini. Bahkan,

perubahan ini berlaku dengan kesan yang besar pada kehidupan manusia.

Contohnya, sekarang ini, berlaku lebih banyak gempa bumi, tsunami,

banjir, tanah runtuh, wabak penyakit dan lain lagi. Manusia hilang harta

benda, bahkan tidak kurang yang terkorban dalam peristiwa-peristiwa

sedemikian.

Menurut satu kajian yang dibuat oleh World Bank Study, bencana alam

telah meningkat kepada 30% semenjak tahun 1990. Peningkatan ini datang

dari bencana yang berkaitan dengan perubahan cuaca. Kita melihat dan

merasakan sendiri bagaimana berlaku gempa bumi.

Bagi orang-orang yang beriman, ia pasti menginsafkan kita. Keimanan kita

mengajar kita bahawa setiap musibah yang berlaku yang bukan dari

perbuatan manusia sendiri sebenarnya adalah dengan ketentuan Allah

s.w.t. Pergerakan plat tektonik yang menyebabkan gempa, pergerakan awan

tebal yang menurunkan hujan yang lebat, perbezaan tekanan (pressure) di

udara yang menyebabkan tiupan ribut taufan, adalah berlaku dengan

kehendak dan izin Allah s.w.t. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah

al-Hadid ayat 22:



Maksudnya: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang

ditimpakan dibumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah

sedia ada di dalam kitab kami (pengetahuan kami) sebelum kami

jadikannya, sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi

Allah".

Begitu juga firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-An'aam ayat ke 17,



Maksudnya: Dan jika Allah menimpakan kamu dengan bahaya bencana, maka

tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia, dan jika

Dia melimpahkan kebaikan, maka Dia-lah Maha Kuasa atas tiap sesuatu.

Saudaraku sekalian,

Namun, mungkin kita bertanya, mengapa ia berlaku di suatu tempat,

menimpa satu masyarakat dan negara, dan bukan orang yang lain? Pastinya,

apa yang berlaku adalah ujian untuk menilai tahap keimanan dan

kesabaran seseorang hamba-Nya. Peristiwa sedemikian juga mengajak kita

bermuhasabah diri untuk melakukan perkara-perkara yang tidak

bertentangan dengan perintah Allah. Mereka yang lalai dan lupa kepada

Allah s.w.t., maka ianya sebagai peringatan serta peluang untuk kembali

bertaubat dan mengukuhkan keimanan. Firman Allah s.w.t, dalam surah

al-Baqarah ayat 214:

Maksudnya: "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga,

padahal belum sampai kepada kamu ujian dan cubaan seperti yang telah

berlaku kepada orang-orang terdahulu daripada kamu?. Mereka telah

ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta

digoncangkan (oleh ancaman bahaya) sehinggalah berkata rasul dan

orang-orang yang beriman yang ada bersamanya; "Bilakah datangnya

pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu

dekat".

Saudaraku sekalian,

Musibah sedemikian juga menguji tahap persaudaraan kita. Adakah kita

menyayangi mereka yang terjejas seperti mana kita menyayangi diri kita

sendiri? Adakah kita membantu mereka sedaya upaya kita dan mendoakan

mereka? Di sini peranan usaha-usaha kemanusiaan sangat penting. Sebagai

umat Islam, kita perlu sama-sama menyokong dan mendokong segala usaha

tersebut, demi semangat hubungan kemanusiaan yang baik seperti yang

diajarkan Islam.



Begitu juga, musibah sedemikian mengingatkan kita bahawa kehidupan kita

ini, terutama hari ini, penuh dengan ketidak-tentuan. Apa sahaja boleh

berlaku. Makanya, janganlah kita menangguhkan kebaikan yang ingin kita

lakukan. Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Jika

berlaku hari kiamat dan di tangan kamu ada sebutir benih, maka

taburkanlah benih itu." (Hadis riwayat Imam Ahmad) Begitu juga, dosa,

kesilapan, dan semua perbuatan yang tidak baik, dan masing-masing kita

mengetahuinya, yang ingin kita tinggalkan, maka janganlah kita

berlengah-lengah untuk meninggalkannya.



Lahirkan rasa kasih sayang dan berbaik-baik dengan orang yang kita

sayangi, ahli keluarga, teman dan sebagainya. Ramai kita yang menyesal

tidak sempat berterima kasih, tidak sempat meminta maaf, tidak sempat

mengatakan kasih dan sayang kepada mereka. Kita juga perlu terus berdoa

kepada Allah agar kita sentiasa dipeliharanya dari musibah dan bala'.



Sidang Jumaat sekalian,

Namun, ada bencana yang berpunca dari perbuatan manusia sendiri.

Contohnya, proses industrialisasi menyebabkan pembakaran karbon lantas

menyebabkan kesan "greenhouse" dan menaikkan suhu darjah dunia. Membakar

hutan juga boleh menyebabkan kerosakan pada alam ini. Sikap penggunaan

sumber-sumber alam dengan boros dan berlebihan juga akan menyumbang ke

arah alam yang semakin sakit dan melarat. Firman Allah s.w.t di dalam

surah al-Rum ayat ke 41 yang bermaksud, "Telah timbul kerosakan di darat

dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia."

Oleh itu, sesuai dengan ajaran Islam, kita masih lagi mempunyai

tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik. Itulah amanah yang kita

perlu pikul bersama. Bukan sahaja terhadap diri kita dan keluarga,

bahkan kepada alam sekitar yang mana kita menikmati keindahan dan segala

kemudahannya.

Semoga kita menjadi manusia yang bersyukur kepada Allah di atas

nikmat-nikmat ini, lantas menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya, sesuai

dengan visi menjadi umat pembawa rahmat buat seluruh alam, Amin.
 
Dikutip dari sumber Islamic-ebook.

No comments: