29 January 2009

TEORI PENYUBURAN (CULTIVATION)

Pengenalan
Teori penyuburan merupakan teori yang amat popular pada tahun 1970an dan 1980an di bidang komunikasi, terutamanya media televisyen. Teori ini diasaskan oleh George Gerbner, di mana beliau menjalankan penyelidikan tentang ilmu kaedah kajian analisis penyuburan melalui Cultural Indicator Project pada lewat 1960an. Ia mengatakan bahawa semakin banyak menonton televisyen, penonton tersebut akan mempercayai dunia televisyen sebagai sosial yang sebenar (social reality). Pada masa itu, beliau juga berkhidmat sebagai dekan dan penyelidik di University of Pennsylvania di bahagian Annenberg School of Communications sehingga tahun 1989. Beliau telah meninggal dunia pada awal tahun 2006.

Teori penyuburan mempunyai dua bahagian dalam reka-bentuk penyelidikannya, iaitu analisis sistem mesej atau dikenali sebagai analisis isi kandungan, dan analisis penyuburan (Gerbner 1980). Analisis sistem mesej ditumpukan dalam mengawasi program rangkaian sebagai sampel tahunan sepanjang prime-time dan waktu siang di hujung minggu. Manakala analisis penyuburan merupakan satu pendekatan yang berasaskan kepada andaian-andaian teoritikal dan kaedah penilaian tentang keberkesanan televisyen ke atas konsep persepsi penonton terhadap dunia yang benar (social reality) (Signorielli 1990). Dalam analisis ini, penanda (indicator) yang utama adalah jumlah masa penonton mendedahkan kepada televisyen memberi kesan terhadap cara memikir dan bertingkahlaku. Selain itu terdapat pelbagai Cultural Indicator yang digunakan sebagai punca penyelidikan, contohnya kajian siri Violence Profile, sex roles dan minorities, children, occupational conceptions, educational achievements and aspirations, family images and impact, sexual depictions and lessons, dan death and dying (Gerbner 1980).
Secara umunnya terdapat dua andaian yang penting dalam teori penyuburan (Gerbner et al. 1979, Perse 1986). Pertamanya, teori penyuburan adalah hasil daripada sikap tidak memilih (unselective) dan pandangan yang pasif (passive viewing) di kalangan penonton. Dan andaian kedua mengatakan bahawa kandungan yang ditampilkan dalam televisyen adalah benar. Begitu juga pembolehubah-pembolehubah yang dipilih dalam kajian-kajian mereka adalah bertumpukan kepada demografik sebagai pengasas yang dikajikan. Andaian-andaian dan pembolehubah-pembolehubah ini menjadi panduan kepada Gerbner dan rakannya dalam proses menghasilkan teori penyuburan. Kaedah-kaedah dan andaian-andaian tersebut adalah berunsur jeneral dan menekankan keberkesanan daripada kumulatif pendedahan kepada media (Signorielli 1990). Dengan demikian, teori penyuburan menyatakan bahawa imej-imej dalam televisyen telah menyuburkan dan menterjemahkan kepercayaan budaya, ideologi-ideologi dan pandangan di kalangan masyarakat. Di sini, televisyen memainkan peranan sebagai agen penggaulan (socializing agent), dan ia mempengaruhi dan mendidiki para penonton supaya mempercayai bahawa dunia yang ditayangkan adalah benar.

Perkembangan Teori
Gerbner dan rakannya telah memulakan analisis sistem mesej pada tahun 1967-69. Analisis ini mengawasi program-program di televisyen yang mengandungi unsur keganasan pada prime-time dan juga pada waktu siang di hujung minggu. Hasil daripada analisis tersebut telah digunakan sebagai kaedah untuk menjalankan ujian ke atas pelbagai pembolehubah seperti umur, jantina, taraf pendidikan dan sebagainya. Teori penyuburan telah dinotakan pada tahun 1973, dan ia juga dikenali sebagai hipotesis penyuburan atau analisis penyuburan secara umunnya. Sebelum tahun 1980, teori ini digunakan untuk menyelidik siri Cultural Indicator (yang nyatakan di atas) untuk membuktikan bahawa impak ke atas pendedahan televisyen yang tinggi di kalangan penonton akan mempercayai kepada dunia televisyen adalah sosial yang benar (Gerbner 1980).

Pada tahun 1980, dalam artikel bertajuk The “Mainstreaming” of America: Violence Profile No. 11 yang merupakan satu tindakan meninjau semula kajian-kajian yang dibuat sebelumnya. Gerbner dan rakannya telah berjaya mendapat hasil (keputusan) yang baru untuk mengukuhkan lagi penyataan-penyataan yang dibuat sebelum itu (Gerbner 1980). Perjumpaan kesan-kesan “mainstreaming” dan “resonance” telah memberi hujah-hujah balasan kepada para kritikal tentang teori tersebut, bahawa bukan saja penyuburan televisyen berlaku secara kekonsistenan ke atas konsep dan tingkahlaku di kalangan penonton, malah ia menyatupadukan mereka yang berasal daripada pelbagai corak hidup (Gerbner 1980).

Kekuatan Teori
Kekuatan teori penyuburan yang paling ketara ialah kesan “Mean World” yang dihasilkan daripada kajian-kajian ke atas televisyen, para penonton dan program keganasan. Di mana ia berlaku apabila heavy viewers menganggap dunia merupakan benua yang lebih bahaya atau tidak selamat (nastier place) jika dibandingkan dengan light viewers (Gerbner 1980). Kenyataan ini berasas daripada andaian bahawa kandungan yang ditampilkan dalam televisyen adalah benar (Gerbner et al. 1979, Perse 1986). Di samping itu, terdapat dua kesan iaitu, “mainstreaming” dan “resonance”. Kesan “mainstreaming” menyatakan bahawa perkongsian norma berlaku di kalangan heavy viewers yang berlingkungan demografik yang sama di mana light viewers akan melihat pandangan yang pelbagai. (divergent views). Akan tetapi dalam kajian Gerbner dan rakannya didapati bahawa satu kes di mana light viewers mempunyai pandangan yang mendekati kepada convergent outlook dengan heavy viewers (Gerbner 1980). Contohnya, dalam hasil penijauan semula 1980 didapati bahawa heavy viewers dan light viewers pada peringkat pendapatan yang rendah mempunyai pandangan atau fikiran yang agak sama.

Kesan “resonance” merupakan kesan yang berkaitan dengan pengalaman penonton yang mempunyai kesamaan dengan dunia televisyen dan didapati ia memberi impak berganda (“double dose”) dalam perkembangan teori penyuburan (Gerbner 1980). Gerbner dan rakannya (1980) telah menganalisis kesan “resonance” dengan data-data yang berasal daripada Nation Opinion Research Center (NORC) yang menyatakan bahawa jantina dan kawasan kediaman merupakan pembolehubah yang penting & ketara (significant) terhadap kesan “resonance”. Mereka menjelaskan bahawa watak wanita yang biasa ditampilkan sebagai mangsa dalam rancangan keganasan mengakibatkan para penonton wanita yang heavy vewing bukan saja akan meransangkan kesan “mainstreaming” malah merasa ketakutan memandangkan mereka adalah golongan yang terlibat. Begitu juga heavy viewers di kawasan bandar akan berasa lebih bahaya atau tidak selamat terhadap persekitarannya jika dibandingkan dengan heavy viewers di luar bandar.

Kelemahan Teori
Apabila Gerbner dan rakannya menyiarkan satu siri kajian tentang teori penyuburan di dalam jurnal-jurnal bidang komonikasi seperti Journal of Communication, Journal Broadcasting dan sebagainya, ini telah mengakibatkan segolongan ahli teori di bidang ini berasa tidak puas hati tentang penjelasan teori tersebut. Mereka seperti Hugh, NewComb, Hirsch, dan McQuail telah mengemukakan beberapa punca kelemahan teori tersebut. Kelemahan yang ketara ialah dari segi penjelasan Gerbner dan rakanynya adalah terlalu umun (over-simplification) tentang punca sebenar yang mengakibatkan impak “Scary World”. Hirsch (1980) dan Hugh (1980) mengkritikan bahawa pembolehubah-pembolehubah yang digunakan dalam analisis merupakan jenis control variables dan ia mengakibatkan hasilnya akan memihak kepada keinginan penyelidik dan kesilapan ini dikenali sebagai “spurious relationship”.

Di samping itu, Hugh juga mempersoalkan tentang pembolehubah-pembolehubah yang digunakan di mana ia mengakibatkan faktor pencelah (third variable). Contohnya, bangsa berkulit hitam adalah berkaitan dengan isu pengasingan (alienation) yang mengakibatkan mereka menonton lebih banyak televisyen dan begitu juga dengan persoalan tentang takut jalan sendiri pada waktu malam di sekitar kawasan. Hugh (1980) juga membangkitkan bahawa kaedah yang mengkategorikan tahap tontonan televisyen (television viewing level) adalah tidak sejajar seperti yang dikemukakan oleh NORC dan Michigan yang telah digunakan dalam Gerbner et al.’s Reporting on Children Under 18 Years of Age. Dengan sedemikian, beliau telah mempersoalkan kepercayaan terhadap kenyataan yang dikemukaan dalam laporan tersebut.

NewComb (1978) membangkitkan kritikan dari segi perspektif kemanusiaan terutamanya tentang andaian-andaian yang dinyatakan dalam kajian Violence Profile. Beliau membangkitkan bahawa mengandai semua penonton menerima maklumat yang sama dan pasif merupakan satu andaian yang tidak pernah dibuktikan. Dengan itu, andaian tersebut tidak boleh menjaminkan kenyataan yang dibuat adalah kukuh (NewComb 1978). Kritikan dari Hugh ,Hirsch dan NewComb mandapat sokongan daripada McQuail (1990) di mana beliau menyatakan bahawa teori penyuburan merupakan satu kemuskilan untuk berbincang secara yakin kerana mempunyai hubungan yang kompleks dalam proses menyuburkan para penonton yang didapati banyak faktor lain yang berkemungkinan besar menyebabkan penukaran pandangan dan tingkahlaku penonton.

Kaedah penyelidikan juga dipersoalkan terutamanya daripada tinjauan yang dijalankan adalah secara umun dan tanpa dibuktikan dengan kerja-kerja eksperimen (Hirsch 1980). Soalan-soalan seperti: Adakah teori penyuburan hanya memenuhi heavy viewers di Amerika sahaja?, Atau disebabkan oleh latarbelakang di antara negara yang berbeza? Merupakan soalan-soalan yang dinyatakan dalam kajian-kajian Wober dan Doob McDonarld di British dan Kanada. Di mana keputusan kajian mereka telah menolak kesan penyuburan di kedua-dua negara tersebut (Hirsch 1980, McQuail 1990).

Penggunaan Teori
Penggunaan teori penyuburan sungguh luas, di mana terdapat banyak kajian telah dijalankan selain daripada Gerbner dan rakannya di Universiti Pennsylvania sejak lewat 1970an. Menurut Morgan dan Signotielli (1990) bahawa terdapat ramai penyelidik menjalankan kajian teori penyuburan dengan pelbagai pembolehubah dan proses, seperti meninjau aspek-aspek teknologi dan psikologi. Di antaranya seperti Hawkins dan Pingree (1990) telah mengaitkan penyuburan analisis dengan proses psikologikal (1980, 1983 dan 1987) seperti melalui proses “learning” dan memori, didapati ia mampu menjelaskan kenyataan tentang heavy viewers yang menafsirkan imej-imej televisyen sebagai dunia yang benar. Begitu juga dalam kajian Perse Elizabeth (1986, 1990), di mana beliau mendapati bidang psikologi amat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kesan teori penyuburan (1986 dan 1987). Beliau telah menerokai tentang penglibatan para penonton televisyen di kalangan pelajar universiti dan didapati hasilnya positif. Dengan demikian, beliau telah menyatakan bahawa penglibatan mempengaruhi persepsi dan motivasi seseorang individual dalam memiliki rancangan yang ingin ditonton.

Penggunaan analisis penyuburan hanya dikatakan berkesan ke atas erti sebenar (perceived reality) oleh Potter (1986) setelah mengkaji dengan teliti melalui dimensi-dimensi dan kontigen-kontigen yang dikandungi dalam erti sebenar seperti “Magic Window”, Pengajaran (Instruction) dan Identiti. Pada awal kajian dijalankan (1983), Potter telah menolak kesan penyuburan teori apabila beliau memulakan demografik yang terkawal, dan ini adalah akibat daripada jumlah masa menonton televisyen tidak memberi kesan kepada pengertian dunia yang sebenar dalam ujian penganggaran mangsa (victimization estimates). Selain meninjau kepada pembolehubah, Diefenbach dan West (2001) telah menggunakan penyuburan teori ke atas kajian pembandingan antara kadar jenayah yang ditayangkan dalam televisyen yang mengandungi unsur keganasan dengan kadar jenayah negara yang sebenarnya. Hasilnya menunjukkan positif ke atas hipothesis penyuburan yang dikonstruk oleh Gerbner dan rakanya, di mana heavy viewers menganggarkan kadar jenayah adalah lebih tinggi dibandingkan dengan light viewers.



Kesimpulan
Secara keseluruhannya, teori penyuburan telah banyak mempengaruhi dalam bidang penyelidikan komunikasi terutamanya mengenali hubungan media terhadap masyarakat. Tidak dapat dielakkan bahawa kewibawaan teori ini dari segi impak televisyen yang ditelitikan oleh Gerbner dan rakannya amat penting dalam perkembangan sejarah komunikasi. Kesan-kesan penyuburan seperti “Mean World”, “mainstreaming” dan “resonance” telah dihujah melalui siri kajian yang dijalankan, akan tetapi terdapat kelembahan-kelemahan teori ini seperti dijeneralkan, kaedah yang tidak mantap dan penggunaannya tidak bersifat sejagat memang menjadi rintangan yang amat mencabarkan kepada golongan penyelidik yang ingin melakukan kajian-kajian berdasarkan teori ini.

Sungguhpun begitu, rintangan tersebut tidak menjadikan halangan malah telah memandukan para saujana mengembangankan teori ke arah yang lebih luas dan membentuk pelbagai corak. Ini dapat ditelitikan dari awalnya yang hanya tumpu kepada jumlah masa menonton televisyen, dan seterusnya mengarah ke tingkahlaku penonton dan kemudian kepada aspek psikologi termasuklah motivasi dan kelibatan penonton. Selain ini kaedah penyelidikan juga berkembang daripada penggunaan pembolehubah berdasarkan demografik kepada dimensi-dimensi yang dikandungi dalam erti sebenar (perceived reality).

No comments: